Penganjur diingat baiki aspek kelonggaran pematuhan SOP Bazar Ramadan, Aidilfitri

Bernama
April 27, 2021 23:49 MYT
Annuar (dua, kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kiri) menyerahkan sumbangan kepada OKU pada Majlis Fitrah Kasih di Jakel Mall, Kuala Lumpur, 27 April, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Penganjur Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman di sini digesa memperbaiki segera kelonggaran aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata beliau juga mahu penganjur yang mengendalikan bazar itu terdiri daripada jawatankuasa penduduk dan persatuan penjaja sentiasa peka kepada SOP dan tidak harus mengambil ringan sehingga ada tindakan daripada pihak berkuasa.
“Kita ingin menggalakkan penguatkuasaan kendiri dan pemerkasaan komuniti, jangan tunggu kompaun atau denda, komuniti yang mengendalikan bazar hendaklah sentiasa membuat peringatan antara sesama mereka.
"Kita tidak mahu ada lagi bazar yang ditutup dan akan merugikan peniaga dan juga pembeli,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa selepas majlis penyampaian sumbangan pakaian dan duit raya kepada orang kurang upaya, asnaf anjuran peruncit tekstil, Jakel.
Pada masa sama, Annuar berkata antara aspek yang harus diperbaiki segera sepanjang pembukaan Bazar Ramadan dan Aidilfitri ialah meningkatkan jumlah kehadiran pihak berkuasa dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), jumlah pengunjung di dalam sesuatu kawasan dikawal selain mereka tidak berada di dalam bazar terlalu lama.
Sebelum ini, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan jumlah pengunjung yang terlalu ramai di dalam bazar dan ada yang terpaksa beratur panjang sehingga mengabaikan penjarakan fizikal yang dibimbangi akan mencetuskan kluster bazar.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #bazar #Ramadan #Aidilfitri #penganjur #SOP #ramadan2021