Penganjur bazar Ramadan Sibu akan arah gerai tidak berkualiti ditutup

Bernama
Februari 25, 2024 22:38 MYT
Pengunjung boleh membuat aduan terus melalui aplikasi WhatsApp yang akan diumum dalam tempoh terdekat oleh pihak penganjur. - Gambar hiasan
SIBU: Peniaga di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II di sini akan diarah menutup gerai serta-merta jika didapati menjual juadah berbuka puasa yang tidak berkualiti, kotor dan basi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata pengunjung boleh membuat aduan terus melalui aplikasi WhatsApp yang akan diumum dalam tempoh terdekat oleh pihak penganjur iaitu Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Nangka, yang menjalin kerjasama dengan Persatuan Peniaga dan dua persatuan lagi di Sibu, mengenai kebersihan serta kualiti juadah di bazar itu.
"Menerusi aduan yang diterima, kita akan minta Jabatan Kesihatan untuk membuat pemeriksaan dan pada masa sama, kita juga akan turut menjalankan pemantauan.
"Jika aduan itu didapati benar, kita akan arah gerai itu ditutup serta-merta selama dua minggu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dr Annuar berkata kesemua 108 gerai di bazar itu akan diberikan nombor yang perlu dipamer dengan jelas bagi memudahkan pengunjung membuat aduan jika mereka tidak berpuas hati.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu juga berkata pengusaha gerai diingatkan agar sentiasa memastikan juadah berbuka puasa yang disediakan mereka adalah berkualiti, bersih dan tidak basi bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tegas selain mendatangkan kemudaratan kepada pembeli.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #gerai tidak berkualiti #Sibu #makanan basi #kotor
;