Penganiyaan haiwan: Jabatan Veterinar didakwa tidak siasat aduan

Umavathi Ramayah
Januari 16, 2025 22:51 MYT
Rajesh Nagarajan berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar didakwa tidak menyiasat atau mengambil sebarang tindakan yang dilaporkan oleh aktivis kebajikan haiwan. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar didakwa tidak menyiasat atau mengambil sebarang tindakan yang dilaporkan oleh aktivis kebajikan haiwan.
Peguam Hak Asasi Haiwan, Rajesh Nagarajan berkata, tindakan itu sangat mengecewakan kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar selaku badan yang seharusnya bertanggungjawab melindungi kebajikan dan kesejahteraan haiwan gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan.
"Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pihak bertanggungjawab perlu bertindak segera atas sebarang aduan yang diterima, bukan sahaja untuk memberikan keadilan kepada haiwan itu, malah sebagai pengajaran kepada pelaku.
"Sekecil manapun aduan yang dibawa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu mengambil tindakan serta-merta. Namun, realiti semasa menunjukkan sebaliknya.
"Berdasarkan pengalamanan saya, hampir semua aduan yang dibuat kepada jabatan itu, tidak disiasat atau tindakan diambil dan perkara ini sangat mengecewakan," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru, di sini pada Khamis.
Dialog Tiga Penjuru: Lagi kes aniya haiwan
Sementara itu, seorang lagi aktivis kebajikan haiwan, Dr Kartini Farah Rahim mendesak kerajaan untuk memperketat penguatkuasaan undang-undang untuk menghentikan penganiayaan ke atas binatang dengan segera.
Beliau mencadangkan agar Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pendera haiwan berbanding Kanun Keseksaan.
"Penganiayaan haiwan berlaku setiap hari, terutama melibatkan haiwan jalanan. Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan memperkukuh penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang diwujudkan bagi menghentikan penderaan haiwan," ujarnya.
Malangnya, kata beliau, kebanyakan kes penganiayaan haiwan masih disiasat di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih ringan.
"Akta Kebajikan Haiwan 2015 sepatutnya dikuatkuasakan sepenuhnya agar semua bentuk kesalahan penganiayaan dapat ditangani dengan serius. Aktivis mencadangkan agar tindakan tegas diambil berdasarkan Akta 722 bagi memastikan penganiayaan haiwan dapat dibendung sepenuhnya," tambahnya lagi.
Kartini Farah berkata, kes penganiayaan haiwan yang tular di media sosial hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar yang berlaku.
"Lebih banyak kes di luar sana tidak dilaporkan dan masyarakat tidak seharusnya mengharapkan pihak lain untuk menyelesaikan isu ini," jelasnya.
#Jabatan Perkhidmatan Veterinar #penganiayaan haiwan #aktivis haiwan #Kanun Keseksaan
;