Pengangkutan bot ekspres di Sarawak
Astro Awani
Ogos 6, 2013 20:29 MYT
Ogos 6, 2013 20:29 MYT
Kurang dua hari lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, rata rata penduduk yang bekerja mahupun yang bermastautin di bandar akan kembali ke kampung halaman untuk meraikan sambutan lebaran bersama kaum keluarga.
Di Sarawak, selain menggunakan pengangkutan kenderaan sendiri dengan mengguna jalan darat, mahupun menggunakan kapal terbang dan bas bas ekpress, antara pilihan utama penduduk untuk kembali ke destinasi tujuan adalah dengan menggunakan pengangkutan laluan air iaitu bot ekspres.
Meskipun terdapat kejadian bot karam yang terjadi di beberapa sungai di negeri itu, masih terdapat segelintir pengguna yang tetap menjadikan bot ekspres sebagai pengangkutan utama mereka untuk balik bercuti memandangkan masa perjalanan yang pendek dan tidak berapa memenatkan berbanding memandu sendiri disamping kos yang agak menjimatkan.
Bagi perjalanan dari Kuching ke Sibu dan Sarikei menggunakan jalan darat dengan menaiki kereta dan bas ekpres, jarak perjalanan ke destinasi tersebut mengambil masa kira-kira enam hingga lapan jam. Tetapi jika menggunakan bot ekspres, mereka Cuma mengambil amsa selama empat jam dengan harga tiket sebanyak RM40-RM45 seorang.
Bagi seorang pengguna dari bandar Sarikei Sarawak yang bekerja di Kuching, Lai Bujang, beliau dan keluarga lebih selesa menaiki pengangkutan air berbanding yang lain.
“Lebih mudah bah menaiki bot ekspres kerana bas terlalu lambat untuk sampai. Kalau bertolak dari sini jam 8.30 pagi sampai sana jam 12 tengahari. Lebih memuaskanlah dan cukup kemudahan selain tempat duduk yang selesa,” kata Lai.
Bagi makcik Sabariah Jeraie 68, sejak dari dulu lagi, atas faktor kesihatan yang kurang memuaskan, setiap kali dia balik ke kampung halaman nya di Daro, Sarawak pilihan utamanya memang bot ekspres kerana mengambil cepat untuk sampai ke destinasi.
“Sudah lama makcik guna perkhidmatan bot ekspres disebabkan perjalanan yang singkat untuk peulang ke kampong,” kata Sabariah.
Walaupun ramai yang risau akan keselamatan mereka ekoran kejadian bot karam yang berlaku, namun pengguna yakin dengan pihak pengurusan dan pihak berwajib dalam mengatasi kejadian yang sama berulang.
Bagi Susilawati Daud pula, walaupun ada rasa takut tetapi beliau terpaksa memberanikan diri untuk menggunakan pengangkutan air memandangkan itu saja pilihan yang ada kerana kampungnya di Kapit hanya dapat dihubungkan menerusi laluan air sahaja.
Bot ekspres yang beroperasi di Sungai Sarawak ketika ini mampu memuatkan kira kira 100 orang penumpang dan 192 maksimum. Dengan ruang dalaman yang luas dan tempat duduk yang selesa untuk penumpang ia menjadikan perjalanan yang jauh terasa singkat dan tidak membosankan.
Negeri Sarawak mempunyai 55 batang sungai dengan jarak 3,300 kilometer dimana ianya banyak digunakan untuk mengangkut penumpang dan barangan.
Setakat ini, kira kira 300 hingga 500 buah bot dan kapal pengangkut berulang alik di sungai-sungai di negeri ini setiap hari dengan melibatkan pengangkutan penumpang manakala selebihnya untuk mengangkut barangan termasuk balak.
Dianggarkan 1.6 juta orang menggunakan laluan sungai sebagai pengangkutan utama dalam setahun.
Terdapat lapan buah terminal bot ekspres di negeri ini iaitu di Kuching, Tanjung Manis, Sarikei, Sibu, Kuala baram, Limbang, Song dan Kapit.
Menjelang musim perayaan, jumlah pengguna bot ekspres akan meningkat 10 kali ganda berbanding hari biasa dan ini menyebabkan ada dikalangan pengusaha yang melanggar peraturan dengan membawa penumpang yang berlebihan untuk mengaut keuntungan.
Tinjauan Astro AWANI di terminal penumpang bot ekspres di Pending Kuching pagi tadi, menyaksikan untuk di Kuching hanya sebuah bot ekspres disediakan oleh pengusaha untuk perjalanan sekali sehari dari Kuching ke Tanjung Manis Sarikei dan Sibu.
Pengusaha dan penumpang juga dilihat mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Sungai Sungai Sarawak.
Selain itu, jaket keselamatan yang mencukupi juga disediakan di dalam bot berkenaan disamping tidak membawa muatan yang berlebihan dan penumpang duduk ditempat masing masing mengikut nombor di kerusi yang telah diberikan.