Pengangkutan awam sesak akibat SOP baharu, pengguna luah rasa kecewa
Afiezy Azaman
Mei 25, 2021 10:42 MYT
Mei 25, 2021 10:42 MYT
KUALA LUMPUR: Polisi baharu dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan menghadkan kapasiti pengangutan awam kepada 50 peratus sahaja penumpang dan kekerapannya dikurangkan di ibu negara khususnya menerima kritikan awam.
Berdasarkan tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata pengguna di laman media sosial Twitter meluahkan rasa kesal apabila mendapati orang ramai terpaksa bersesak akibat menunggu untuk tempoh yang lama pengangkutan awam.
Malah penjarakan fizikal juga dilihat sukar untuk diamalkan akibat daripada kesesakan yang berlaku itu.
Seorang pengguna Twitter melalui akaun @nrjwznl mempersoalkan polisi berkenaan sambil memuat naik gambar menunjukkan orang ramai beratur panjang di stesen pengangkutan awam.
Seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai @Ano_hidayah berkata, 60 peratus pekerja sektor swasta terpaksa melalui kesesakan di pengangkutan awam setiap hari.
Manakala @Hanathesith pula menyuarakan kemarahannya susulan kesesakan yang berlaku di pengangkutan awam.
Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan isu melibatkan SOP terbaharu tersebut.
Mengikut SOP yang berkuatkuasa hari ini, 80 peratus penjawat awam akan bekerja dari rumah, kerajaan turut memutuskan 40 peratus pekerja di sektor swasta juga akan berbuat demikian.
Kapasiti pengangkutan awam pula akan dihadkan kepada 50 peratus penumpang sahaja dan kekerapannya dikurangkan.
Sementara operasi perniagaan pula bermula jam 8 pagi sehingga pukul 8 malam.
Sekatan-sekatan yang diumumkan kerajaan itu merupakan penambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa pada 12 Mei lalu.