Penganggur warga Kemboja didakwa bunuh Siti Masitah
Astro Awani
Februari 22, 2019 12:50 MYT
Februari 22, 2019 12:50 MYT
Seorang warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh Siti Masitah Ibrahim yang mayatnya ditemui di kawasan belukar padang ragut, Kampung Tanjung Medang Hilir di sini, 9 Feb lalu.
Mohd Amirul Abdullah, beralamat di Kampung Parit Tengah, Pekan, sekadar mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.
Penganggur berusia 23 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dia didakwa membunuh Siti Masitah, 11 tahun, juga warganegara Kemboja, antara 5.50 petang dan 8 malam pada 30 Jan lalu, di kawasan belukar tersebut.
Mahkamah menetapkan 25 Mac ini bagi serahan dokumen forensik, laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 9 Feb, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tangan terikat tanpa seluar kira-kira pukul 4 petang oleh penduduk kampung, tiga kilometer dari rumahnya.
Kanak-kanak berkenaan sebelum itu dilaporkan hilang pada 30 Jan selepas pergi ke kedai runcit kira-kira pukul 5 petang dan tidak pulang ke rumah.