Penganggur tetak warga asing kerana berkawan dengan ibu

Bernama
Disember 13, 2015 17:13 MYT
Mangsa sedang berada di medan selera ketika suspek menyerangnya dengan parang. - Gambar hiasan
Seorang penganggur dilapor menetak seorang pekerja kontrak Bangladesh dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan rakyat asing itu yang berkawan dengan ibunya.
Kejadian berlaku di kawasan makan Medan Renong di Jalan Tun Syed Barakhbah di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bertindak mencederakan mangsa kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang intim dengan ibunya.
Beliau berkata suspek berusia 24 tahun itu kemudiannya ditahan di rumah pangsa di Sungai Pinang kira-kira pukul 3.20 pagi tadi.
"Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia 45 tahun sedang berada di medan selera berkenaan sebelum suspek datang dengan membawa parang lalu mengejar mangsa.
"Suspek bertindak memukul dan menetak kepala mangsa dengan parang yang dibawanya sebelum kejadian berkenaan dileraikan oleh orang ramai di situ," kata Mior Faridalathrash.
Mangsa mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang dan menerima tujuh jahitan akibat kecederaan di kepala.
Beliau berkata suspek turut mempunyai satu rekod jenayah.
#pekerja Bangladesh #penganggur #Tetak
;