Penganggur tetak, kelar dua beradik didakwa

Adie Sufian Zulkefli
Januari 15, 2019 12:20 MYT
Amir (dua, kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan hari ini, atas tuduhan membunuh dua beradik di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan minggu lepas. --fotoBERNAMA
Seorang penganggur disyaki penagih dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan hari ini atas dua pertuduhan membunuh dan menyebabkan kecederaan parah ke atas dua beradik.
Tertuduh, Amir Arifin, 49 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh dituduh membunuh Nurul Hanim Idris, 5 tahun, sementara dalam pertuduhan kedua, dia dituduh membunuh Mohammad Hafiz Idris, 1 tahun.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 11.45 malam, 8 Januari, di rumah bernombor 11, Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA: 'Suspek ada datang minta maaf 2 hari sebelum kelar kejam dua anak saya'
Manakala, bagi pertuduhan ketiga, Amir didakwa mendatangkan kecederaan parah kepada Sobri Saad, 52 tahun, dengan melibas parang mengenai pipi sebelah kiri mangsa.
Bagi pertuduhan ini, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326(A) kerana mendatangkan kecederaan.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki bertindak mengamuk dalam rumah mangsa dan seterusnya menyerang dua beradik itu yang sedang tidur.
Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz ditemui terbaring di atas katil dengan kesan tetak dan kelar di leher.
BACA: 'Anak hang dah selamat mandi darah' jeritan akhir pembunuh kejam dua beradik
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Waheda Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan dilakukan terlalu berat.
#bunuh #Dadah #dua beradik #kelar #mahkamah #mangsa #Yan
;