Penganggur tak mengaku sentuh dan raba dada budak 10 tahun
Shuhada Abdul Kadir
Januari 30, 2019 15:58 MYT
Januari 30, 2019 15:58 MYT
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak di Bandar Hilir, Melaka, November lalu.
Pengakuan itu dibuat R. Ruban, 26, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Norma Ismail.
Ruban didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 5 bulan dengan menyentuh dan meraba dada bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan di kaki Bukit Senjuang, Jalan Banda Hilir pada jam 9 pagi, 7 November lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 ( a ) Akta Kesalahan--Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebat.
Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Mazuin Hashim meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20 ribu dengan seorang penjamin.
Ruban yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana tidak berkemampuan.
Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua pihak, Hakim memerintahkan Ruban diikat jamin sebanyak RM15 ribu dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 27 Februari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.