Penganggur tak mengaku salah 8 pertuduhan culik Albertine Leo, miliki bahan penganiayaan seksual

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 8, 2024 05:20 MYT
Leang Win Son, 31, dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menculik Albertine Leo Jia Hui, 6, serta memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, pada bulan lalu di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini.
Tertuduh, Leang Win Son, 31 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman dan Rasidah Roslee selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mengikut kertas pertuduhan, di hadapan Hamkim Rasidah, Leang yang belum berkahwin didakwa menculik Albertine daripada ibunya di Eco Gelleria, Jalan Eco Botani, Iskandar Puteri Johor pada 20 Julai lalu pada jam 8.30 malam.
Leang juga didakwa melakukan dengan niat curang melakukan pengurungan salah terhadap kanak-kanak itu yang tidak diketahui oleh pihak polis di sebuah bilik di hotel di Batang Kali, Hulu Selangor pada 23 Julai lalu, lebih kurang jam 4.45 pagi.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 363 dan 346 Kanun Keseksaan.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, di hadapan Hakim Siti Noraida, Leang yang mempunyai masalah kesihatan, didakwa atas enam pertuduhan mengumpul 5,317 gambar, video dan anime bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam dua kad SSD, hard disk dan telefon bimbit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Bunga Raya, Taman Sri Kulai, Kulai Johor, pada 24 Julai lebih kurang 4 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan sebatan tidak kurang tiga sebatan.
Manakala, bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa memiliki pornografi kanak-kanak iaitu 30 keping gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sebuah telefon bimbit.
Kesalahan itu dilakukan di bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.
Tertuduh yang juga anak tunggal turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan seorang kanak-kanak menunjukkan badan supaya dapat dilihat olehnya dengan cara membuka pakaian kanak-kanak itu.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif.
Manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Zafirah Norizan.
Dua mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM50,000 serta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, jika ada.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 September depan bagi serahan dokumen.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Siti Noraida, ibu kanak-kanak mangsa penculikan itu, Leo Qieo Xin, 37, dilihat turut hadir bersama rakannya dan berada di tempat duduk orang awam dalam mahkamah bagi mendengar prosiding itu.
Selesai prosiding di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, tertuduh dibawa terus ke Mahkamah Majistret Kulai untuk menghadapi tujuh lagi pertuduhan difahamkan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
#Albertine Leo #motif penculikan #kes mahkamah #penganiayaan seksual #identiti suspek