Penganggur tak mengaku buang helaian al-Quran
Sinar Harian
Januari 24, 2024 15:02 MYT
Januari 24, 2024 15:02 MYT
KUALA PILAH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melempar helaian dan cebisan al-Quran di tepi jalan pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Ruzainis Md Sin, 37, yang sebelum itu membuat pengakuan bersalah menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas memberitahu tidak faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Dia turut mempersoalkan ketiadaan pegawai penyiasat kes itu di mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melemparkan helaian dan cebisan al-Quran dengan mengetahui mana-mana orang mungkin menyifatkan itu sebagai mencemarkan dan suatu keaiban kepada agama.
Perbuatan itu dilakukan pada 20 Januari 2024, kira-kira jam 11.30 pagi di tepi Jalan Pasar Khairat Kematian, Felda Palong 6, Jempol.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi menawarkan jaminan RM10,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah atas alasan perlu menjaga ibu bapa yang tidak sihat.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan sebutan semula kes pada 26 Februari ini.
Sebelum ini media melaporkan penahanan suspek susulan tiga laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.
Suspek telah ditahan bersama senaskhah al-Quran dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian