Penganggur mengaku tidak bersalah rogol remaja bawah umur
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 8, 2023 12:35 MYT
Ogos 8, 2023 12:35 MYT
IPOH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, bulan lepas.
Tertuduh, Fazaikal Hakimi Mustafa, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun 7 bulan di sebuah pangsapuri di sebuah taman perumahan di Ipoh, Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Salihen Mastor.