Penganggur mengaku tidak bersalah dera anak teman wanita
Abd Razak Mohd Ali
Februari 21, 2023 11:48 MYT
Februari 21, 2023 11:48 MYT
IPOH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mendera anak teman wanitanya yang berusia enam tahun.
Tertuduh, Mohd Aiman Razali, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Cherry Appartment, di sini, kira-kira jam 1 pagi, 25 November 2022.
Dia turut didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa yang sama dan di tempat sama, kira-kira jam 1 pagi, 14 Februari 2023.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee menawarkan jaminan RM12,000 untuk setiap pertuduhan, namun, peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 22 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, difahamkan tertuduh ditahan polis dan direman selama seminggu selepas dipercayai mendera mangsa yang juga anak teman wanitanya, minggu lalu.
Suspek dipercayai kerap kali memukul mangsa dengan menggunakan tangan hingga menyebabkan lebam di bahagian mata kanan.