Penganggur dituduh sebabkan kecederaan hingga kematian kanak-kanak lima tahun

Bernama
Januari 17, 2016 11:25 MYT
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin. Tiada sebarang pengakuan direkodkan. - Gambar fail
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematiannya September tahun lepas.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin. Tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Tertuduh Mohd Hazwan Karim, 24, didakwa menampar muka Muhammad Danial Asyraff Abdullah, 5, beberapa kali sehingga kepalanya terhantuk dan mendatangkan kecederaan seterusnya kematian kepada mangsa di sebuah bilik di sebuah pusat perkhidmatan memandu, Jalan Mangga 2, Taman Kota Jaya, dekat sini, kira-kira pukul 2 hingga 2.30 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafiuddin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat, laporan DNA dan laporan kesihatan mangsa.
Majistret Mazana menetapkan tarikh sebutan pada 22 Feb ini. Tertuduh tidak diwakili peguam bela.
#Mahkamah Majistret #maut #Mazana Sinin #Mohd Hazwan Karim #Muhammad Danial Asyraff Abdullah #penggangur
;