Penganggur ditahan, rogol remaja perempuan bawah umur

Abd Razak Mohd Ali
Januari 15, 2022 18:14 MYT
Polis menahan seorang penganggur selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali menerusi laman sosial. - Gambar hiasan
LUMUT: Polis menahan seorang penganggur selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali menerusi laman sosial di Selama, Selasa lalu.
Difahamkan mangsa mula mengenali suspek yang juga penduduk tempatan sejak setahun lalu, menerusi aplikasi Instagram.
Kejadian bagaimanapun terbongkar apabila ibu mangsa terbaca mesej yang mencurigakan pada telefon bimbit anaknya, sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, pihak polis telah menahan suspek berusia 30-an itu serta merampas sebuah kereta yang digunakan dalam kejadian.
"Suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan kes berkenaan sudah lengkap dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
#Rogol remaja bawah umur #penganggur #media sosial #Selama #Instagram #polis perak
;