Penganggur disyaki dalang pembunuhan pereka dalaman dituduh esok

Umavathi Ramayah
Oktober 1, 2024 13:40 MYT
Shahrulnizam berkata, suspek berusia 50 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Gambar fail
PETALING JAYA: Seorang penganggur akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu berhubung pembunuhan seorang pereka dalaman, berusia 36 tahun yang ditemukan maut dengan 20 kesan tikaman di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, suspek berusia 50 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Seksyen itu katanya, memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
"Kita percaya kejadian ini pada awalnya pecah masuk untuk mencuri, namun apabila disedari mangsa maka berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Pada 21 September lalu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota.
Siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka merupakan pelaku yang membunuh mangsa.
Semua suspek tiada pertalian dan mereka tinggal serumah. Semakan mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai rekod lampau iaitu sembilan rekod jenayah dan 14 rekod dadah.
Dalam kejadian itu, polis bergegas ke tempat ke jadian selepas pihaknya menerima satu laporan daripada seorang orang awam yang juga jiran mangsa, yang risau perkara buruk berlaku kepada mangsa setelah mendengar suara pergaduhan antara mangsa dan seorang individu.
Hasil pemeriksaan awal, polis menganggarkan terdapat 20 kesan tikaman dengan lima kesan tikaman ditemukan pada rusuk kiri yang dipercayai menyebabkan kematiannya.
Enam lagi tikaman ditemukan pada bahagian kepala dan sembilan lagi tikaman pada kedua-dua pergelangan tangan.
#Mahkamah Majistret #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #kes bunuh pereka dalaman #Polis Diraja Malaysia
;