Penganggur direman menyamar kerabat diraja Perak

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 18, 2022 14:06 MYT
Seorang penganggur direman empat hari kerana disyaki menyamar sebagai kerabat diraja Perak dengan menggunakan kad pengenalan serta gelaran palsu. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang penganggur direman empat hari kerana disyaki menyamar sebagai kerabat diraja Perak dengan menggunakan kad pengenalan serta gelaran palsu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar, bermula hari ini sehingga 21 Ogos untuk membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, pada petang Rabu.
Katanya, polis turut merampas satu kad kuning yang tertera Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak yg dipercayai digunakan sewaktu berurusan di pejabat Sultan Kedah.
Suspek dikatakan memperdaya, seorang lelaki dan dua wanita yang datang ke pejabat Sultan Kedah dengan memperkenalkan diri kerabat diraja dengan menggunakan satu kad kuning pada pukul 11.30 pagi 28 Jun lalu.
Mangsa menyedari dia ditipu selepas membuat semakan dengan pihak istana di Perak mendapati, tiada kerabat diraja di negeri itu menggunakan nama serta nombor Mykad yang dinyatakan.
Mangsa yang bimbang individu itu menggunakan MyKad dengan gelaran diraja itu dan menyamar sebagai kerabat diraja Perak yang boleh menjatuhkan imej kerabat negeri berkenaan telah bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
#penganggur direman #menyamar #kerabat Diraja Perak #pejabat Sultan Kedah
;