Penganggur direman dua hari curi burung kakak tua

Adie Sufian Zulkefli
November 13, 2021 12:25 MYT
Suspek telah berjaya ditahan pada jam 11.30 pagi hari sama di rumahnya di Kampung Datuk Kayaman bersama burung kakak tua tersebut. - Astro AWANI
KANGAR: Seorang penganggur direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kecurian seekor burung kakak tua jenis Grey African Parrot di sebuah rumah di Beseri.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Suazira Mohd Surat sehingga 14 November bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abas berkata, dalam kejadian jam 4 pagi Jumaat, mangsa terdengar burung peliharaannya berbunyi dengan kuat lalu.
Selepas membuat pemeriksaan di luar rumah, mangsa mendapati burung peliharaannya di dalam sangkar telah dicuri.
Selepas beberapa jam laporan dibuat mangsa di Balai Polis Daerah Padang Besar, suspek telah berjaya ditahan pada jam 11.30 pagi hari sama di rumahnya di Kampung Datuk Kayaman bersama burung kakak tua jenis African Grey Parrot tersebut.
Menurut Saifudin, pemeriksaan terhadap nombor penandaan pada kaki burung itu didapati ia sama dengan nombor penandaan yang terdapat di dalam lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang telah dikeluarkan kepada pemilik.
Katanya, nilai pasaran burung kakak tua terbabit dianggarkan RM3,300.
Hasil pemeriksaan air kencing juga terhadap lelaki berusia 44 tahun itu mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan denda.
#burung kakak tua #reman #curi #Dadah
;