Penganggur direman bantu siasatan kes hina Islam, Nabi Muhammad di media sosial

Muhafandi Muhamad
Julai 19, 2022 14:51 MYT
Hasil siasatan awal, suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad. - Foto Astro AWANI
KUALA KRAI: Seorang penganggur direman selama empat hari bermula hari ini di Mahkamah Kuala Krai, Kelantan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mempersenda dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad melalui hantaran video di media sosial, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Amal Razim Alias adalah sehingga Jumaat depan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun terdahulu berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada jam 9.15 pagi semalam berhubung seorang individu yang menghina agama Islam melalui satu klip video.
Jelasnya,pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang kemudian menahan lelaki itu di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, pada jam 11.30 pagi semalam.
Hina Islam | Lelaki muat naik video ditahan
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan multimedia.
Hasil siasatan awal, suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.
Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine.
Terdahulu video rakaman berdurasi empat minit 14 saat yang menunjukkan seorang lelaki menghina islam dan dan Nabi Muhammad itu tular di media sosial.
#hina Islam #Kuala Krai #penganggur direman #media sosial
;