Penganggur direman bantu siasatan insiden bakar bilal
Februari 20, 2020 18:07 MYT
Seorang penganggur direman enam hari bermula hari ini sehingga 26 Februari oleh Mahkamah Majistret Alor Setar.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim terhadap suspek berusia 40 tahun itu bagi membantu siasatan kejadian menyimbah petrol dan membakar bilal Masjid Al Hasanah Taman Rakyat Mergong.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, suspek ditahan semalam tidak jauh dari lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 5.55 pagi semalam, mangsa Amri Budin, 60, disimbah minyak sebelum dibakar seorang lelaki ketika sampai di hadapan Masjid Al Hasanah Taman Rakyat Mergong untuk menunaikan solat Subuh.
Berdasarkan siasatan polis, suspek dipercayai mengalami masalah mental dan berada di bawah pengaruh dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.