Penganggur dipenjara, denda RM1,000 curi barang hotel

Sinar Harian
November 10, 2023 15:20 MYT
Jiun Loong (tengah) dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka kerana mencuri barangan di sebuah hotel, bulan lalu. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, kerana mencuri barangan di sebuah hotel bernilai lebih RM500 pada bulan lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Jiun Loong, 30, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan niat telah melakukan kecurian dalam bangunan iaitu kotak amenities, tuala mandi, bakul buluh, bantal dan bantal sofa berserta sarung serta gelas kaca milik Syarikat Chow Chern Meng yang keseluruhan bernilai RM585.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik The Pine Hotel, Jalan Tun Sri Lanang di sini, pada jam 1.26 petang, 23 Oktober lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala penjara atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan dengan alasan dia tidak bekerja dan menghidap sakit Systemic Lupus Erythematous (SLE).
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/633945/berita/semasa/penganggur-dijel-empat-bulan-denda-rm1000-curi-barang-hotel
#curi barang hotel #hukuman penjara #hukuman denda #Melaka
;