Penganggur 'dilarikan' parah dipukul suami kekasih

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 15, 2021 14:57 MYT
Polis turut merampas pelbagai barang milik suspek, barangan seperti tali yang digunakan untuk mengikat dan pemutar skru untuk memukul mangsa. - Foto Astro AWANI
KEPALA BATAS: Tindakan seorang lelaki yang menjalinkan hubungan sulit dan meminjam wang dengan isteri orang membawa padah apabila dia dilarikan tiga lelaki yang kemudian bertindak memukul dan mengurungnya di dalam sebuah rumah flat di Mak Mandin, Butterworth pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bagaimanapun lelaki berusia 38 tahun itu berjaya diselamatkan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas gerakan mencarinya dilakukan sebaik menerima laporan polis daripada orang awam.
Hasil siasatan awal, mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nyior, Butterworth apabila mangsa berusia 38 tahun itu dilarikan tiga lelaki yang berang selepas mangsa gagal melangsaikan hutangnya yang berjumlah RM2,300.
Salah seorang suspek berusia 40 tahun bertindak sedemikian kerana berang mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya yang berusia 32 tahun ketika dia menjalani hukuman di penjara.
Noorzainy berkata mangsa di temui dengan kecederaan parah luka di kepala serta lebam seluruh badan akibat dipukul dengan kayu, playar, besi dan pemutar skru.
Polis turut merampas pelbagai barang milik suspek, barangan seperti tali yang digunakan untuk mengikat dan pemutar skru untuk memukul mangsa.
Susulan itu, polis berjaya menahan tiga suspek berusia 24 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes tersebut.
Kesemua suspek yang positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau ditahan reman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 367 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara selama sepuluh tahun dan didenda.
Kejadian itu dilaporkan tular di laman sosial dan menjadi tanda tanya netizen apatah lagi ia berlaku ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun dengan kecekapan polis kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya enam jam.
#hubungan sulit #meminjam wang #Ah Long #Noorzainy Mohd Noor #jenayah #polis #perintah kawalan pergerakan #langsai hutang #siasatan
;