Penganggur dijel enam bulan tunggang motosikal secara berbahaya

Sinar Harian
Mei 21, 2021 06:15 MYT
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Jun tahun lalu. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa serta-merta oleh Mahkamah Khas Trafik Seremban atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan melulu dan membuat aksi bersaing sesama sendiri pada tahun lalu.
Majistret Intan Syafinaz Roslin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Hilmi Mohamad Firdaus, 20, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC di atas jalan raya dalam keadaan melulu dan membuat aksi bersaing sesama sendiri, aksi zig-zag dan menundukkan badan adalah merbahaya kepada orang awam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 286 hingga 282.4, Lebuhraya Utara -Selatan arah Selatan dalam daerah Nilai pada 17 Jun tahun lalu jam lebih kurang 9.45 malam.
Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan jika lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirah Syed Ahmad Yunus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes sebelum ini telah dituduh di Mahkamah Seremban pada 25 Mac lalu, namun Majistret telah menangguhkan hukuman kerana menunggu laporan akhlak.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan tertuduh mempunyai rekod jenayah dan pernah dipenjarakan sebelum ini atas kesalahan di bawah Seksyen 395KK/397 Kanun Keseksaan atas jenayah samun berkumpulan.
Artikel asal di Sinar Harian: Penganggur dijel enam bulan tunggang motosikal secara merbahaya
#motosikal #aksi bersaing #Yamaha #mahkamah
;