Penganggur dihukum penjara 11 tahun, bersalah cabul kanak-kanak dan milik senjata
Muhafandi Muhamad
Mei 11, 2022 15:21 MYT
Mei 11, 2022 15:21 MYT
KOTA BHARU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tiga pertuduhan mencabul dan memiliki senjata di Kuala Krai pada Mac dan April lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Edry Shah Rimiey Ghani, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata berjadual di bawah Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu sebilah pisau besi pendek berhulu kayu, satu besi berwarna keemasan berlubang lima iaitu buku lima tanpa maksud yang sah.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah kedai serbaneka di dalam Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai jam 5 petang pada 29 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum di bawah seksyen 7(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.
Bagi kesalahan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap.
Bagi pertuduhan pindaan pertama kes cabul, tertuduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 15 tahun di bawah rumpunan buluh berhampiran Sungai Gertak Runtuh, Gertak Kangkung, Kuala Krai jam 3 petang pada 21 Mac lalu.
Pertuduhan pindaan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di Batu Mengkebang 3, Kuala Krai jam 10 pagi pada 20 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi dua pertuduhan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun untuk pertuduhan pertama dan enam tahun bagi pertuduhan kedua yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan 6 tahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
#cabul kanak-kanak
#miliki senjata api
#penganggur dipenjara
#Kota Bharu
#Mahkamah Sesyen Kota Bharu