Penganggur dihadap ke mahkamah kerana rogol, liwat, pukul wanita
Siti Nur Aqilla Omar
November 18, 2020 16:41 MYT
November 18, 2020 16:41 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, atas enam pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan mencederakan seorang wanita.
Di Mahkamah Sesyen, S Dinesh Kumar, 32, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim MV Mabel Sheela selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Perling, pada jam 6 pagi, 12 November lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursulehan Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Amerpreet Singh.
Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin, dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Dinesh Kumar dituduh memeras dan memukul muka wanita yang sama menggunakan tangan pada jam 5.30 pagi di lokasi dan hari yang sama.
Dia turut didakwa atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri untuk diperiksa anggota polis di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada jam 11.45 pagi, 15 November lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin RM12,000.
Dalam pada pada itu, dua rakan mangsa, Dewi Riskasari Sutardi, 25, dan Salwani Yusof, 28, turut didakwa di Mahkamah Majistret sama.
Mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan mangsa yang sama, pada lokasi, masa dan tarikh sama.
Salwani turut berhadapan pertuduhan gagal mengemukakan dokumen diri kepada pihak polis pada jam 4.20 petang, 13 November lalu di Larkin.
Dewi dibenarkan ikat jamin RM3,500 ringgit manakala Salwani (RM4,000).
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Benedict Choong Kai Qi, manakala kedua-dua wanita itu tidak diwakili peguam.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Disember ini untuk laporan kimia dan serahan dokumen.
#penganggur
#rogol
#liwat
#cederakan
#wanita
#pukul
#Muka
#rakan mangsa
#S Dinesh Kumar
#Mahkamah Majistret Johor Bahru
#Mahkamah Sesyen Johor Bahru