Penganggur didakwa bunuh warga emas
Shuhada Abdul Kadir
Februari 1, 2023 11:30 MYT
Februari 1, 2023 11:30 MYT
JASIN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas di Kampung Pulai Darat, Jasin, bulan lalu.
Tertuduh D. Peter, 20, bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Tan Chai Wei.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Misah Amin, 91, di Kampung Pulai Darat, kira-kira jam 1.30 pagi pada 20 Januari lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mac ini sebagai sebutan semula kes.
Astro AWANI pada 20 januari lalu melaporkan seorang warga emas maut selepas kediamannya dipecah masuk di Kampung Pulai Darat, Jasin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat itu, mangsa Misah Md Amin ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian dapur rumahnya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 3.54 pagi berhubung kejadian itu sebelum pasukan polis kemudian berjaya menahan suspek di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.
Katanya, suspek yang ditahan itu juga mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak dan samun.