Penganggur didakwa bunuh juruteknologi di kuarters Klinik Kesihatan
Raffi Bachik
Februari 12, 2018 12:04 MYT
Februari 12, 2018 12:04 MYT
Selang sehari dari tarikh hari lahirnya, seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson selepas didakwa membunuh juruteknologi pergigian Klinik Kesihatan Lukut, akhir Januari lalu.
Tertuduh, Abdul Malik Rosli 20 tahun yang berasal dari Senai, Johor dan tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kediaman mangsa di kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson.
Tertuduh yang di bawa ke perkarangan Mahkamah Port Dickson sekitar 9 pagi tadi itu didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak, tertuduh didakwa dengan niat melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Mahussin Abdul Rahim, 28 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar 1.40 pagi 19 Januari lalu di tingkat 4, kuarters Klinik Kesihatan lukut, Lukut, Port Dickson.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh yang juga seorang penganggur hanya menunduk faham sebaik pertuduhan dibacakan.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya A. Ashwini memohon tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik dan laporan kimia.
Siti Khairiah kemudian menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
22 Januari lalu, Astro AWANI melaporkan, kehilangan seorang juruteknologi pergigian Mahussin Abd. rRhim terbongkar selepas mangsa ditemui mati dibunuh di kediamannya di kuarters terbabit.
Mayat Mahussin ditemui terbaring di atas sebuah tilam oleh rakannya yang datang ke rumahnya untuk mencarinya kerana dia tidak hadir bertugas sejak 19 Januari lalu.
Punca kematian mangsa disahkan oleh Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) akibat kecederaan parah pada kepala kerana hentakan objek keras. .
Tertuduh kemudian ditahan pada 30 Januari lalu di Johor Bahru.
#Abdul Malik Rosli
#Astro Awani
#bunuh
#Hospital
#Klinik kesihatan
#Lukut
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#Mahkamah Majistret Port Dickson
#Mahussin Abdul Rahim
#mati
#mayat