Penganggur didakwa bunuh ibu kandung
Siti Nur Aqilla Omar
Disember 10, 2024 13:15 MYT
Disember 10, 2024 13:15 MYT
KLUANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya pada Selasa lalu.
Ringkasan AI
- Pertuduhan Pembunuhan: Muhammad Hariez Farhan Masrudin, seorang penganggur berusia 20 tahun, didakwa membunuh ibunya, Zarina Jaafar, di rumah mereka di Felda Ayer Hitam pada 4 Disember.
- Proses Mahkamah: Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, tetapi tiada pengakuan direkodkan. Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, dan tiada jaminan diberikan.
- Penemuan Mangsa: Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di belakang badan dan meninggal dunia setelah dihantar ke hospital. Suspek ditahan oleh polis setelah menerima laporan awam.
Tertuduh, Muhammad Hariez Farhan Masrudin, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh ibunya, Zarina Jaafar, 47 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Felda Ayer Hitam, di sini kira-kira 10.45 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 4 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dikenakan hukuman mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan dan 4 Februari tahun hadapan sebagai sebutan kes semula bagi serahan dokumen laporan kimia dan bedah siasat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan media memberitahu suspek ditahan di Felda Ayer Hitam pada jam 11 pagi setelah menerima laporan awam.
Laporan berkaitan penemuan seorang wanita yang terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian belakang badan mangsa.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia setelah dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang.