Penganggur didakwa bunuh adik dan ibu saudara di Baling
Astro Awani
Oktober 9, 2016 11:58 MYT
Oktober 9, 2016 11:58 MYT
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majisret Baling atas dua pertuduhan membunuh adik dan ibu saudaranya di Kampung Linai, Parit Panjang, di sini awal bulan ini.
Tertuduh, Azman Wahab, 32, mengangguk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Bagi pertuduhan pertama, Azman didakwa membunuh adiknya, Muhammad Azwan Wahab di ruang tamu rumah beralamat 147 Kampung Lanai, Parit Panjang, jam 11 pagi pada 2 Oktober lalu.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membunuh ibu saudaranya, Rokiah Abdullah di luar rumah beralamat sama jam 11.10 pagi, hari yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Izmi menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa polis Inspektor Wan Hasmira Wan Ishak.