Penganggur didakwa buat komunikasi jelik hina Sultan Johor, keluarga Diraja
Bernama
Julai 9, 2023 11:39 MYT
Julai 9, 2023 11:39 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat komunikasi jelik menghina Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor, dua tahun lepas.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Reymi Abdul Rahim, 43, didakwa secara sedar membuat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor menerusi akaun Twitter miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain.
Kedua-dua hantaran itu dibaca oleh seorang pengguna akaun Twitter pada 12 tengah hari, 8 Okt 2021 di sebuah pejabat di Kota Southkey, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu, selepas sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan terhadap Reymi.
Peguam yang mewakili tertuduh Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja dan masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail kerana mempunyai skizofrenia dengan kemurungan.
Hakim VM Mabel Sheela menetapkan wang jaminan RM4,500 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Kes akan disebut semula pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.
-- BERNAMA