Penganggur cium pipi anak jiran, dipenjara empat tahun, satu sebatan
Sinar Harian
Februari 22, 2024 13:46 MYT
Februari 22, 2024 13:46 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penganggur mencium pipi kanak-kanak perempuan lapan tahun bagi tujuan seksual, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menjatuhi lelaki 22 tahun tersebut hukuman penjara selama empat tahun berserta satu sebatan.
Hakim, Mohd Kafli Che Ali memutuskan demikian selepas tertuduh yang masih bujang itu, menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan semula kes.
Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 Ogos tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal termasuk mencium pipi terhadap anak jirannya, yang ketika itu berusia lapan tahun empat bulan bagi tujuan seksual di kawasan tangga tingkat 11, sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Besi, pada jam 3.30 petang, 25 Jun 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran, lebih-lebih lagi melibatkan mangsa yang masih kecil.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.
Mengikut fakta kes, seorang wanita berusia 28 tahun yang juga ibu mangsa mendapati anak perempuannya berada dalam ketakutan ketika memasuki rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
Apabila ditanya, mangsa memberitahu seorang lelaki memanggilnya ke arah tangga, kemudian mencium pipi dan merabanya.
Mangsa yang terkejut dan takut kemudian terus menolak lelaki itu dan berjaya melarikan diri.
Berikutan kejadian itu, ibu mangsa telah membuat laporan polis dan suspek ditahan di hadapan sebuah surau.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian