Penganggur berdepan hukuman mati bunuh Nur Aisyah
Salim Aziz
Mac 20, 2019 14:35 MYT
Mac 20, 2019 14:35 MYT
Suspek utama pembunuhan Nur Aisyah Aleya Abdullah, yang mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna berhampiran kawasan gaung di Gunung Raya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 37 tahun, didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun itu di Blok G-3-4, Kuarters Hospital Langkawi, antara jam 9 dan 10 pagi, 23 Februari lalu.
Tertuduh, seorang penganggur, tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 9 pagi dengan pakaian lokap berwarna oren.
Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret, Mohd Ridzwan Salleh.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dari bapa kepada lima anak berusia 3 hingga 12 tahun itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula kes serta tiada jaminan ditawarkan.
Pada 6 Mac, polis menemui tengkorak kanak-kanak dan cebisan rambut milik Nur Aisyah, di kawasan gaung tersebut.
Ia selepas soal siasat dijalankan ke atas suspek dan isterinya, yang sebelum itu ditahan di Ampang, Selangor, kerana dipercayai melarikan diri dari Langkawi.
Polis kemudiannya menemui dua batang gigi serta gumpalan rambut, juga dipercayai milik kanak-kanak itu, di lokasi sama pada hari kedua operasi pencarian.
Mangsa sebelum itu, dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya, Rosmaliah Samo, seorang warga Indonesia, ketika berada di bawah jagaan suspek yang tinggal di kuarters berkenaan.
#Ampang
#bunuh
#Gunung Raya
#hilang
#Indonesia
#Kanak-kanak
#Kuarters Hospital Langkawi
#Langkawi
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#mangsa
#mati
#mayat
#Nur Aisyah
#Nur Aisyah Aleya Abdullah
#Ramlan Abdul Rashid
#Rosmaliah Samo
#suspek
#warga Indonesia