Penganalisis: Tempoh lima bulan belum cukup untuk ubah corak pengundian

Irwan Muhammad Zain
November 5, 2013 08:00 MYT
Tempoh lima bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak cukup untuk mengubah corak pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin.
Dr Shaharuddin berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau membuktikan bahawa pengundi masih mengekalkan corak pengundian yang sama biarpun PAS mengalami kemerosotan majoriti.
Katanya, kemerosotan majoriti yang dialami PAS bukan bermakna parti itu mengalami kemerosotan sokongan sebaliknya ia disebabkan oleh pengundi yang berada di luar Kedah mengambil keputusan untuk tidak balik mengundi.
"Tempoh lima bulan terlalu singkat untuk kita melihat perubahan corak pengundian dan ini dapat kita lihat dengan keputusan di Sungai Limau.
"Kalau pilihan raya kecil ini diadakan selepas dua tahun atau setengah penggal selepas PRU13 mungkin kita boleh melihat perubahan corak pengundian.
"Tempoh lima bulan ini belum cukup untuk pengundi di Sungai Limau menilai prestasi kerajaan BN di Kedah dan juga prestasi Mukhriz sebagai menteri besar yang baru, kerana itu corak pengundian masih kekal sama," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas faktor peratusan keluar mengundi yang berkurangan, Dr Shaharuddin berkata, ia merupakan faktor majoriti yang diperolehi PAS berkurangan berbanding keputusan pada PRU13.
Beliau menjelaskan, faktor pengundi luar Kedah tidak pulang untuk mengundi antara penyebab peratusan keluar mengundi merosot.
"Pengundi di luar Kedah membuat keputusan untuk tidak balik mengundi kerana salah satunya sebarang keputusan tidak akan mengubah kerajaan negeri.
"Faktor lainnya ialah masalah kewangan untuk mereka pulang mengundi, jadi mereka memutuskan tidak balik mengundi," katanya.
Dr Shaharuddin juga berpendapat, biarpun majoriti yang diperolehi PAS berkurangan, ia satu kemenangan moral kepada parti itu kerana berdepan jentera BN yang jauh lebih besar.
"Ia satu kemenangan moral kepada PAS dan jentera mereka kerana berjaya memenangi pilihan raya kecil ini biarpun berdepan dengan jentera BN yang jauh lebih besar.
"Kedua-dua jentera, baik dari BN dan juga PAS begitu aktif dan menjalankan kerja mereka dengan baik untuk memastikan kejayaan kepada parti masing-masing," katanya lagi.
Dr Shaharuddin bagaimanapun menolak pendapat yang mengatakan keputusan di Sungai Limau bukti awal rakyat menolak Bajet 2014.
Katanya, jika majoriti yang diperolehi PAS jauh lebih besar dari PRU13, ia boleh dikatakan sebagai rakyat menolak Bajet 2014.
"Keputusan di Sungai Limau itu adalah satu keputusan normal, tidak menunjukkan perubahan corak pengundian, jadi ia tidak boleh dikatakan petanda rakyat menolak bajet 2014.
"Kalau dalam keadaan peratusan keluar mengundi yang merosot tetapi majoriti PAS dapat jauh lebih tinggi berbanding PRU13, itu boleh dikatakan rakyat menolak Bajet 2014," katanya.
PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau mengalahkan BN dengan majoriti sebanyak 1,084 undi.
Calon PAS, Mohd. Azam Abd. Samat yang mendapat 12,069 undi manakala calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim yang memperolehi undi 10,985 undi.
Jumlah undi majoriti yang diperolehi PAS merosot dibandingkan dengan majoriti yang diperoleh bekas ADUN Pas Sungai Limau, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Aziz berjumlah 2,774 undi.
Pada pilihan raya itu, Allahyarham Azizan memperoleh 13,294 undi berbanding lawannya daripada BN, Mohd. Fadzillah Mohd. Ali yang memperoleh 10,520 undi.
#BN #PAS #pilihan raya kecil #Sungai Limau
;