Penganalisis: Perwakilan PAS perlu pilih pemimpin yang boleh lonjakkan parti

Irwan Muhammad Zain
November 15, 2013 09:15 MYT
Muktamar PAS ke 59 pada 22 hingga 24 November menjadi perhatian banyak pihak kerana pemilihan dan juga apakah akan ada usul supaya kerjasama dalam Pakatan Rakyat dikaji semula.
Ini kerana, sebelum ini resolusi Multaqa Ulama yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah pada September lalu mencadangkan agar Tahaluf Siyasi bersama Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikaji semula.
Ucaptama yang dibacakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyarankan agar parti itu perlu menilai kebaikan dan keburukan hubungan PAS dengan PKR.
Saranan tersebut dilihat atau dibaca sebagai isyarat bahawa golongan ulama dalam PAS mahu supaya menerusi pemilihan parti yang dijadualkan pada 22 November depan, perwakilan akan memberi tempat kepada mereka untuk menduduki jawatan utama seperti Presiden, Timbalan Presiden dan ketiga-tiga jawatan Naib Presiden.
Justeru itu, perwakilan PAS dinasihatkan supaya berfikir dengan matang dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui parti itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Penganalisis dan penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar berkata jika perwakilan mahu meletakkan PAS sebagai parti dan bercita-cita untuk menggantikan UMNO, maka cadangan supaya Tahaluf Siyasi merupakan satu tindakan paling tidak bijak.
Beliau juga menjelaskan, perwakilan PAS perlu mempersoalkan kewajaran cadangan supaya Tahaluf Siyasi dengan PKR dan DAP dikaji semula.
Katanya jika alasan yang diberikan kerana faktor ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perwakilan perlu bertanya apa bezanya kalau bekerjasama dengan UMNO yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak.
"PAS cukup bertuah kerana berjaya membentuk kerajaan di Kedah sebelum ini dan bersama membentuk kerajaan di Selangor.
"Perlu difikirkan apakah kejayaan ini apa sebabnya? Adakah bijak untuk mengkaji semula hubungan dalam Pakatan Rakyat setelah kejayaan ini dicapai," katanya.
Mohd Sayuti juga menegaskan, jika perwakilan memilih pemimpin yang bukan ulama ia tidak bermakna bahawa golongan agamawan itu terpinggir dalam parti itu.
Katanya, PAS telah meletakkan ulama begitu tinggi dalam parti dengan adanya Majlis Syura Ulama dan salah satu sayap partinya ialah Dewan Ulama.
"Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama merupakan badan yang begitu tinggi dan memantau PAS dalam setiap tindakan mereka.
"Yang penting mereka yang diletakkan dalam badan-badan tersebut benar-benar ulama, yang jujur, yang ikhlas yang betul berjuang untuk Islam.
"Jangan pula yang berada dalam dewan-dewan ini mereka yang hanya digelar ulama tetapi perwatakannya dan peribadi serta pemikirannya tidak seperti ulama," katanya lagi.
#mohd sayuti omar #Muktamar Pas #pemilihan #tahaluf siyasi
;