Penganalisis data ditahan buat laporan palsu tuntut wang insurans untuk majlis kahwin
Bernama
April 28, 2021 05:14 MYT
April 28, 2021 05:14 MYT
SEREMBAN: Tindakan seorang lelaki membuat laporan palsu berhubung kehilangan kenderaannya akhirnya memakan diri selepas ditahan polis di depan stesen KTM Seremban, tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Port Dickson dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang merupakan penganalisis data itu membuat laporan palsu bagi membolehkannya menuntut insurans untuk kegunaan majlis perkahwinannya.
“Pada awalnya, lelaki itu membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaan jenis Subaru Forester miliknya di perkarangan parkir Lukut Prima, Port Dickson pada 20 April lepas.
"Lelaki itu mendakwa meletak kenderaan di kawasan tersebut sekitar pukul 8 malam untuk makan bersama rakan dan apabila kembali ke kereta sejam kemudian, dia mendapati keretanya tiada di tempat parkir,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, Aidi Sham berkata penipuan itu terbongkar setelah polis membuat siasatan lanjut pada 26 April lepas dan mendapati lelaki itu sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan keretanya yang sebenarnya disimpan di tempat lain.
Susulan itu, dengan dipandukan lelaki itu, polis menemukan semula kereta yang disorokkan di belakang bangunan sebuah pasar raya di Lukut, katanya.
“Lelaki itu kini masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hingga Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Aidi Sham berkata polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu.
-- BERNAMA
#penganalisis data
#laporan palsu
#tuntutan insurans kenderaan
#insurans
#Majlis kahwin
#hilang kenderaan
#Stesen KTM Seremban
#Port Dickson
#Aidi Sham Mohamed
#penipuan
#siasatan
#polis
#lokap