Pengampunan Najib: Tony Pua hairan disiasat di bawah Akta Hasutan
Ridauddin Daud
Februari 5, 2024 15:07 MYT
Februari 5, 2024 15:07 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, kira-kira jam 2.30 petang Isnin.
Beliau yang ditemui di luar bangunan itu memaklumkan kepada media bahawa sebanyak 60 soalan ditanyakan kepadanya, melibatkan lima status media sosialnya yang disiasat.
Menurutnya, polis juga akan merampas sebuah komputer riba miliknya, yang akan diberikan kemudian, selain turut meminta akses kepada laman Facebooknya.
Dalam sidang medianya, beliau meluahkan rasa hairan mengapa status dimuat naik beliau baru-baru ini disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
“Pada saya, saya tak tahu macam mana status yang saya buat itu merupakan sebarang hasutan di bawah akta tersebut.
“Saya tidak dapat mencari di mana hasutannya dalam status tersebut. Kita harap polis akan buat siasatan penuh dan menolak segala tuduhan yang dibuat pihak di luar sana.
“Kita mendapat tahu, setakat ini laporan diterima di Johor, yang dibuat oleh pihak UMNO.
“Siapa yang buat laporan saya tidak tahu tapi disebut kepada kami laporan tersebut dari pihak UMNO,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau kecewa ‘berkecil hati’ dengan tindakan UMNO membuat laporan terhadap beliau, Tony menegaskan tidak berasa sedemikian.
“Kecewa itu…tidak kecewa sebab UMNO memang macam itu kan tapi saya rasa buang masa.
“Buang masa bagi pihak polis untuk siasat perkara seperti ini sedangkan ada lagi isu rakyat yang saya rasa lebih penting,” ujarnya.
Tony dipanggil untuk direkod keterangan susulan kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Sebelum ini, Tony dilaporkan memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurangan hukuman diberikan kepada Najib.
Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.