Pengampunan Najib: "Kita tak boleh paksa-paksa, biarlah Yang di-Pertuan Agong buat keputusan..."
Ridauddin Daud
April 12, 2023 15:07 MYT
April 12, 2023 15:07 MYT
PUTRAJAYA: Permohonan Pengampunan Diraja Datuk Seri Najib Tun Razak kini terletak sepenuhnya pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu tersebut kini bukan lagi di bawah urusan kementeriannya.
Menurutnya, ia selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah.
“Sekarang ini tiada lagi urusan perundanganlah. Prosedur undang-undang itu sekarang sudah tiada, now it's court of compassion, maknanya budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi kita pun tak boleh paksa-paksa, biarlah Yang di-Pertuan Agong buat keputusan kalau Baginda nak mengkaji.
“Kami dah tak terlibat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di Putrajaya pada Rabu.
Astro AWANI pada 7 April lepas melaporkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memohon pertimbangan agar Yang di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib.
Bekas Perdana Menteri itu kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertimbangan tersebut selaras dengan kuasa Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Rayuan tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.