Pengampunan kedua santuni Najib, keluarga - Zahid Hamidi
Sinar Harian
Februari 8, 2024 11:50 MYT
Februari 8, 2024 11:50 MYT
PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan permohonan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjara adalah sebagai menyantuni permintaan Najib dan keluarga.
Menurutnya, langkah-langkah yang diambil kelak turut mengambil kira rasa hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Baginda mempunyai kuasa seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan pertimbangan untuk membuat permohonan pengampunan kedua disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.
Nooryana Najwa melahirkan rasa kecewa berikutan bapanya, Najib tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.
Perasan sama turut dizahirkan Najib sewaktu Nooryana melawatnya selepas keputusan Lembaga Pengampunan diumumkan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan pengampunan merupakan hak multak Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Maka siapa pun individu termasuk peguam hendaklah menghormati keputusan ini.
"Selanjutnya kita ambillah langkah perundangan dan apa-apa yang perlu untuk kita mengusahakan pembelaan ini kepada Najib," katanya.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 pada Jumaat memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Denda yang perlu dibayar Najib sebanyak RM210,000,000 dikurangkan kepada RM50,000,000.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan beliau dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta. - Sinar Harian