Pengambilan pelajar semua aliran di MRSM selari konsep Keluarga Malaysia, bukan kiasan - MIC
Umavathi Ramayah
September 6, 2021 15:57 MYT
September 6, 2021 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: MIC menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tanpa mengira aliran sekolah sebagai melambangkan konsep sebenar 'Keluarga Malaysia' dan bukan suatu bahasa kiasan semata-mata.
Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk P Kamalanathan memberitahu, ia juga dilihat sebagai mengukuhkan persepakatan barisan di bawah pentadbiran kerajaan dalam mengamalkan konsep yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Konseptualisasi negara sebagai keluarga di bawah satu payung besar dengan peluang kesejahteraan dan kemakmuran yang diperoleh harus dikongsi bersama adalah prinsip mulia dan keputusan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah bukti kepadanya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Kamalanathan memberitahu, semua keputusan dan dasar harus dibuat dengan menghalusi dan mempertimbangkan prinsip ini sebagai landasan dalam memastikan visi kepimpinan negara mencapai kejayaan dalam masa akan datang.
Beliau yang mewakili MIC pada masa yang sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mahdzir atas tindakan pantas dalam mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM.
Mahdzir pada Ahad dilaporkan berkata, cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama pegawai dan kepimpinan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Sementara, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan.