Pengambilan pekerja warga asing ke Sarawak dibenarkan bermula 1 Januari 2021

Syafik Shukri Jalil
Disember 23, 2020 17:35 MYT
Selain itu ujarnya, majikan juga bertanggungjawab dalam menyediakan pengangkutan kepada pekerja warga asing dari pintu masuk negeri itu ke pusat kuarantin. - Sumber foto Facebook @ukascomms
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk membenarkan pengambilan pekerja warga asing ke Sarawak bermula 1 Januari 2021.
Keputusan dicapai selepas mengambil kira peningkatan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui 'jalan tikus' ke negeri itu.
Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, majikan perlu membuat permohonan dan mematuhi tatacara kemasukan pekerja asing ke Sarawak yang akan dikemukakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (JIMS).
“Kita (JPBN Sarawak) meneliti peningkatan kes kemasukan PATI ke Sarawak dan kita berharap dengan kebenaran ini maka kegiatan membawa PATI melalui 'jalan tikus' akan dapat dikurangkan.
“Seterusnya dengan kebenaran ini juga, sumber jangkitan dan penularan COVID-19 di negeri ini dapat dikurangkan,” kata Uggah.
Selain itu majikan juga bertanggungjawab dalam menyediakan pengangkutan kepada pekerja warga asing dari pintu masuk negeri itu ke pusat kuarantin, ujar Uggah.
Malah mereka juga perlu menanggung kos kuarantin dan kos menjalani ujian saringan yang diperlukan.
Antara lain, Sarawak melaporkan pertambahan empat kes positif COVID-19 melibatkan dua kes di Kuching manakala satu kes masing-masing di Miri dan Tebedu.
Satu kes dikategorikan sebagai kes import A dari Indonesia manakala tiga kes merupakan kes import B dari Kuala Lumpur dan Sabah.
#tatacara pekerja asing ke Sarawak #kemasukan PATI ke Sarawak #pengambilan pekerja warga asing #peningkatan kes COVID-19 di Sarawak #JPBN Sarawak #Douglas Uggah Embas #Kuala Lumpur #Sabah
;