Pengambilan calon guru di IPG diperluas kepada lepasan STPM, STAM, matrikulasi - KPM

Faida Rahim
Mac 14, 2024 11:50 MYT
Kah Woh berkata, KPM berusaha memberi peluang dalam memastikan bilangan warga pendidik terus mencukupi.
KUALA LUMPUR: Pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan (KPM) diperluas kepada lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan matrikulasi bagi tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan (KPM), Wong Kah Woh berkata, kementeriannya berusaha memberi peluang dalam memastikan bilangan warga pendidik terus mencukupi.
“Dalam pengambilan calon latihan guru kali ini, KPM telah membuat satu pembaharuan. Ini kerana sebelum ini (pengambilan) adalah dari kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
“Mulai tahun ini kita memperluas peluang latihan guru dengan memberi peluang kepada pelajar STPM, STAM dan lepasan matrikulasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerja sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai pada Khamis.
Beliau berharap usaha ini dapat melahirkan lebih ramai warga pendidik yang berkaliber.
Sementara itu, beliau berkata akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat mengenai isu sekolah sesak disebabkan kepadatan penduduk.
“Kita akan keluarkan kenyataan rasmi, kita tunggu kenyataan rasmi tersebut,” katanya.
#calon guru #IPG #cara untuk jadi guru #lepasan STPM STAM matrikulasi
;