Pengambilan balik ungka, lotong cengkong atas perintah mahkamah - Perhilitan

Bernama
Januari 7, 2021 04:39 MYT
Mariani dikatakan tidak menghormati proses pengadilan dalam menyimpan enam ekor ungka dan seekor lotong cengkong di Kampung Ulu Sungai, Jasu, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang. - Foto Twitter bernamadotcom
PUTRAJAYA: Tindakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) mengambil balik enam ekor ungka dan lotong cengkong yang disimpan aktivis hidupan liar Mariani Ramli adalah berdasarkan perintah mahkamah.
Menurut kenyataan Perhilitan, tindakan itu dilakukan berdasarkan kepada perintah Mahkamah Rayuan pada 16 Nov 2020 yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2019.
Menurut jabatan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan Mariani tidak mempunyai hak untuk menyimpan semua hidupan liar tersebut kerana tidak mempunyai permit khas, malah permohonannya bagi menubuhkan pusat konservasi dan rehabilitasi juga tidak diluluskan kerana tiada peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Perhilitan berkata satu pertemuan dengan Gibbon Conservation Society (GCS) yang diketuai Mariani diadakan pada 4 Jan lepas bagi menerangkan mengenai pengambilan balik ungka dan lotong cengkong yang disimpannya dan dikatakan tidak menghormati proses pengadilan.
Menurut Perhilitan, 18 kakitangannya daripada Bahagian Penguatkuasaan, Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) dan Perhillitan Pahang telah menjalankan operasi dari 29 hingga 31 Dis lepas untuk mengambil balik enam ekor ungka dan seekor lotong cengkong di Kampung Ulu Sungai, Jasu, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang.
Kesemua enam ekor ungka telah berjaya diambil dan dipindahkan ke NWRC dengan selamat untuk dikuarantin selama 30 hari, namun usaha mengambil lotong cengkong tidak dapat dilakukan kerana haiwan itu tiada di lokasi tersebut.
"Semua ungka kini berada dalam keadaan baik dan selamat di NWRC," kata Perhilitan yang menafikan dakwaan bahawa ada antara haiwan itu yang terlepas, tercedera dan mati semasa proses pemindahan.
Perhilitan berkata operasi turut disertai oleh empat anggota Polis Diraja Malaysia daripada Balai Polis Cheroh, Raub serta dipantau oleh pegawai veterinar Perhilitan bagi memastikan kesihatan dan kebajikan hidupan liar terjaga.
Perhilitan menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi ke atas operasi yang telah dijalankan kerana ia adalah selaras dengan perundangan yang berkuat kuasa demi menjaga kebajikan hidupan liar di negara ini.
-- BERNAMA
#Perhilitan #ungka #lotong cengkong #permit #hidupan liar #Gibbon Conservation Society #Mariani Ramli #aktivis #mahkamah #operasi #NWRC #spekulasi #Raub #Pahang
;