Pengambilalihan tol bukan 'dedak' - Syed Saddiq
Asyraf Roslan
Februari 24, 2019 15:17 MYT
Februari 24, 2019 15:17 MYT
Formula baharu dalam kutipan tol di empat lebuh raya bertol di Lembah Klang daripada syarikat konsesi bukanlah satu tindakan bagi meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pengambilalihan tol tersebut merupakan satu tanggungjawab kerajaan sejak menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) Mei tahun lalu.
“Ini memang tanggungjawab Kerajaan dalam mencari jalan menyelesaikan masalah bukan hanya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK ) tapi selepas itu kita juga perlu teruskan agenda ini juga seperti yang kita janjikan dalam manifesto berkenaan tol ini,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Wanita Pertama 2019 di Bukit Jalil pada Ahad.
Pejabat Perdana Menteri pada dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata kerajaan akan mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang yang dikendalikan syarikat konsesi Gamuda Berhad.
BACA : Kerajaan cadang ambil alih 4 tol Lembah Klang, tetapi...
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kaedah kutipan tol sedia ada akan digantikan kepada satu kaedah baharu dengan kadar yang lebih rendah.
Kaedah kutipan tol baharu itu akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.
Empat lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, yang dipegang secara majoriti oleh Gamuda.
#Ambil Alih Tol
#nafi
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#PRK Semenyih
#PRU
#Puchong
#Semenyih