Pengambilalihan MASwings dimuktamadkan tidak lama lagi - Abang Jo

Bernama
Oktober 12, 2024 13:30 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata proses pengambilalihan MASwings kini di peringkat rundingan lanjutan. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata proses pengambilalihan itu kini di peringkat rundingan lanjutan.
"Sarawak memerlukan khidmat penerbangan untuk berada di bawah kawalannya sendiri bukan sekadar sebagai kemudahan membawa penumpang keluar dan masuk tetapi lebih penting ia merupakan satu pelaburan untuk pertumbuhan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke-78 di sini, hari ini.
Pada 23 Nov tahun lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata kerajaan Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings sebagai persediaan untuk pengambilalihan.
Dr Jerip berkata rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham dalam MASWings.
Sementara itu, Abang Johari berkata kajian pembangunan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu kini sedang dijalankan.
Menurut Premier lapangan terbang baharu itu bakal diinspirasikan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.
"Lapangan terbang ini juga nanti akan dilengkapi kemudahan canggih sejajar dengan sasaran untuk membangunkan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan serantau," katanya.
-- BERNAMA
#Pengambilalihan MASwings #Abang Johari Tun Openg #Premier Sarawak #rundingan lanjutan #Sarawak
;