Pengamal media serah sumbangan peminat sukan, bekas atlet kepada mangsa banjir

Bernama
Januari 2, 2022 21:29 MYT
Jasni berkata misi itu agak unik dan kreatif kerana ia mengumpul pakaian berkaitan sukan supaya mangsa banjir dapat kembali meneruskan kehidupan aktif serta bersukan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pengamal media sukan tanah air hari ini tampil menyampaikan sumbangan pakaian dan barangan sukan daripada peminat sukan dan bekas atlet, yang dikumpul melalui Misi Bantuan Pakaian Sukan, kepada mereka yang terjejas akibat musibah banjir di kawasan Hulu Langat.
Pengerusi Misi Bantuan Pakaian Sukan Datuk Jasni Shafie berkata misi itu agak unik dan kreatif kerana ia mengumpul pakaian berkaitan sukan supaya mangsa banjir dapat kembali meneruskan kehidupan aktif serta bersukan.
"Kami bersyukur kerana dapat menyampaikan barang-barang yang disumbangkan oleh pelbagai pihak dan berharap sumbangan ini dapat membantu mangsa banjir yang kehilangan harta benda khususnya pakaian beriadah dan bersukan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Antara barangan yang disampaikan ialah pakaian dan kasut yang disumbangkan oleh peminat sukan dari seluruh negara serta bekas atlet.
Misi itu turut disertai oleh beberapa kenderaan pasukan penganjur acara pacuan empat roda terbaik antarabangsa iaitu Rain Forest Challenge (RFC) bagi membantu mangsa banjir terutama golongan belia dan murid yang pakaian sukan mereka hilang atau rosak akibat bencana itu.
Bekas wartawan sukan Azman Suradi pula menyifatkan misi itu sebagai kreatif kerana memfokus kepada sumbangan berbentuk pakaian dan barangan sukan yang jarang dilakukan dalam bantuan banjir oleh badan bukan kerajaan sebelum ini.
Beliau yang turut menjadi mangsa banjir berkata sumbangan itu akan dapat membantu mereka untuk mula beriadah dan bersukan secepat mungkin selepas keadaan pulih.
Ketua Kumpulan Pacuan Empat RFC Atan Aris pula berkata pihaknya bangga kerana dapat menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda masing-masing.
"Kami akan terus memberikan sokongan kepada misi ini kerana ia lebih fokus iaitu menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian sukan kepada mangsa banjir yang terjejas terutama anak muda dan murid sekolah," katanya.
-- BERNAMA
#Banjir 2021 #Misi Bantuan Pakaian Sukan #Jasni Shafie #mangsa banjir
;