Pengamal media belum divaksin disaran tidak buat liputan di lapangan - NUJM
Astro Awani
Jun 9, 2021 11:16 MYT
Jun 9, 2021 11:16 MYT
KUALA LUMPUR: Pengamal media yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 disaran untuk tidak membuat sebarang liputan di lapangan mahupun di tempat awam.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) turut menyeru kerjasama pengurusan syarikat media swasta mahupun kerajaan untuk hanya menghantar petugas media yang sudah divaksin bagi membuat liputan di lapangan.
Katanya, tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan COVID-19 di kalangan petugas media yang majoritinya masih belum divaksin.
"Melihat keadaan politik semasa negara, menjadi kegusaran kepada NUJM apabila ramai petugas media yang sudah mula 'berkampung' di lapangan bagi membuat liputan dan mendapatkan perkembangan terkini.
"Justeru itu, tidak mustahil, sekiranya dalam tempoh terdekat ketika membuat liputan, ada di antara petugas media yang mungkin terdedah kepada penularan COVID-19 dan menjangkiti rakan-rakan yang lain," kata Presiden NUJ, Farah Marshita Abd Patah dalam kenyataan pada Rabu.
NUJM turut mengingatkan petugas media yang sudah divaksin dan berada di lapangan supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard dan keselamatan diri.
Mengulas lanjut, Farah berkata sehingga Rabu (9 Jun 2021), hanya segelintir petugas media yang sudah menerima notifasi tarikh untuk menerima vaksin seperti yang dijanjikan dengan sebahagian besar daripada petugas media di seluruh negara masih tertunggu-tunggu.
"NUJM sekali lagi menyeru kepada kerajaan supaya mempercepatkan pemberian vaksin kepada petugas media yang dijanjikan kepada kami pada minggu pertama Jun, namun sehingga kini, masih tiada sebarang maklum balas," katanya lagi.
Sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menyatakan para petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 mulai hari ini.
#vaksin
#NUJM
#pengamal media
#petugas media
#wartawan
#Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia
#syarikat media
#Farah Marshita Abd Patah