Pengamal media akan berpeluang sertai sukarelawan APM - Ahmad Zahid
Bernama
Januari 24, 2024 21:53 MYT
Januari 24, 2024 21:53 MYT
KAJANG: Pengamal media akan diberi peluang menyertai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai usaha memberi nilai tambah dalam pengendalian bencana dan pelaporan berita khususnya di lokasi kejadian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata beliau akan bertemu ketua pegawai eksekutif dan ketua pengarang media cetak serta elektronik bagi membincangkan keputusan memasukkan pengamal media sebagai sukarelawan APM.
"Kursus jangka pendek disediakan untuk para wartawan (sertai sukarelawan APM). Di lokasi bencana mereka boleh datang sebagai wartawan dan beruniform.
Ia beri optik baik kepada mangsa dan khalayak. (Wartawan) pakai dua topi iaitu profesional sebagai petugas media dan juga sukarelawan APM," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat APM di Sungai Merab di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan juga akan dilaksanakan untuk kumpulan penggiat seni serta pegawai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.
"Ia beri optik berbeza sebagai idola kepada generasi muda zaman dan keberadaan mereka tentunya dapat bangkitkan semangat baharu kepada khalayak khususnya mangsa bencana dan kecemasan.
"Saya telah mula pada diri saya dan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk sertai sukarelawan APM," katanya.
Sementara itu, beliau berkata APM perlu diberi nafas baharu dalam perkhidmatan melalui keberadaan cepat di lokasi bencana.
"Kita lihat aset untuk melaksanakan pergerakan APM sangat terbatas bila berlaku kecemasan atau bencana... kita cuba tingkatkan," katanya menambah bilangan anggota APM juga akan dipertingkatkan.
Sementara itu, beliau berkata beliau telah meminta APM menyediakan satu Dasar Pertahanan Awam Negara bagi menjadikan agensi itu lebih proaktif dan memainkan peranan lebih utama ketika berada di lokasi bencana.
"Dasar ini disediakan dan akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan... dasar ini jadi panduan untuk APM nanti," katanya.
-- BERNAMA