Pengamal madu kelulut dalam misi catat rekod peribadi dalam MBR
Bernama
April 17, 2016 07:30 MYT
April 17, 2016 07:30 MYT
Pejalan kaki solo dan pengamal madu lebah kelulut, Pok Sabri Ali dari Terengganu akan melakukan misi berjalan kaki secara solo ke seluruh negara sejauh 2,000 kilometer (km) untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).
Pok Sabri, 54, akan memulakan perjalanan solo melalui Kelulut Walk 2016 pada 8 Oktober hingga 26 November ini yang mengambil masa selama 50 hari merentasi 14 negeri termasuk Sarawak buat kali pertama.
Misi yang ditaja RH Bee Farms Sdn Bhd, pengeluar madu lebah kelulut terbesar di Sarawak dan anak syarikat Rimbunan Hijau Group itu diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 pada 24 November hingga 4 Disember ini di Serdang, Selangor.
Pok Sabri sebelum ini pernah melakukan misi berjalan kaki secara solo pada tahun 2014 melibatkan jarak sejauh 1,700km di 12 negeri dan pada tahun 2015 sejauh 1,640km selama 35 hari.
Beliau kini sedang giat menjalani latihan dengan menjadikan madu lebah kelulut sebagai makanan utama menambah tenaga tanpa menggunakan makanan tambahan kesihatan yang lain dan ubat-ubatan.
"Pada usia sebegini, saya tidak boleh lagi melakukan aktiviti yang ekstrem, jadi acara berjalan kaki secara solo ini mampu saya lakukan. Saya berjalan kaki sejauh 5 hingga 10km setiap hari di samping berbasikal," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Kelulut Walk 2016 oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa merasmikan ladang ternakan lebah kelulut milik RH Bee Farms Sdn Bhd, di Nanga Dap dekat sini semalam.
Pok Sabri yang pernah aktif dalam pelbagai aktiviti sukan lasak berkata beliau mula mengamalkan madu lebah kelulut selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya yang juga pengusaha madu lebah itu.
"Saya memang suka mencuba. Bila diperkenalkan madu kelulut saya terus mencubanya untuk beberapa ketika. Saya dapati madu kelulut ini mampu menambah tenaga di samping meningkatkan tahap kesihatan," jelasnya.
Menurutnya, madu kelulut juga mengandungi karbohidrat yang tinggi, asid amino, vitamin dan asid organik yang amat berkhasiat untuk tubuh badan manusia.
Ia juga dipercayai sebagai ejen anti penuaan, memperbaiki sistem imunisasi dan boleh bertindak sebagai pencegah kanser.
Pok Sabri berkata beliau akan mempromosikan penggunaan madu lebah kelulut serta MAHA sepanjang misi itu dan dijadulkan menamatkan Kelulut Walk di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), tempat berlangsungnya MAHA 2016.