Pengalihan kubur di Selat Klang: Kerajaan negeri runding dengan ECRL taja kepuk, batu nisan - Exco
Bernama
Januari 10, 2025 21:45 MYT
Januari 10, 2025 21:45 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri sedang dalam proses perundingan dengan pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi tujuan penajaan pembinaan kepuk dan batu nisan baharu susulan berakhirnya proses pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dekat sini semalam.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah berkenaan diambil sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap waris dan ahli keluarga yang terlibat.
"Kita faham, sewaktu proses pengalihan ini ada kepuk dan batu nisan yang pecah dan sebagainya, jadi kita sedang berunding dengan pihak ECRL untuk mereka menyumbang bagi memudahkan urusan waris yang berhasrat untuk menziarah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Ahmad Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata sebanyak 90 plot kubur di tanah perkuburan itu yang terlibat dengan jajaran ECRL telah selesai dialihkan menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang dilakukan secara berperingkat bermula Isnin lepas.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata proses penggalian dan pengalihan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua pihak telah memainkan peranan dengan baik dalam memastikan jenazah dikuburkan semula secara tepat dan berdasarkan hukum yang sah.
"Kita ada terima makluman, ada beberapa waris yang tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan untuk melihat proses ini, namun harus diingat ada di antara jenazah terlibat yang meninggal dunia akibat COVID-19, jadi atas faktor itu dan faktor keselamatan yang lain, kita perlu ambil langkah yang sepatutnya.
"Para waris juga tidak perlu risau, kita telah mengikut SOP dengan kerjasama KKM dan Jabatan Forensik PDRM turut melakukan ujian DNA supaya kesemua jenazah dikuburkan semula dengan betul dan tidak berlaku kesilapan," katanya.
Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.
-- BERNAMA