Pengalaman Pilihan Raya di kem PLKN menjelang 2013
Bernama
November 15, 2012 09:14 MYT
November 15, 2012 09:14 MYT
Kesemua 81 kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diberi pendedahan terhadap proses pilihan raya dalam usaha mendidik pelatih mengetahui amalan demokrasi di negara ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil.
Beliau berkata proses pilihan raya itu akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kem-kem PLKN tahun depan untuk memberi pengalaman kepada pelatih dalam mempraktik dan memahami asas demokrasi.
Abdul Hadi berkata keputusan mengadakan proses pilihan raya itu dibuat setelah simulasi yang dijalankan di 14 kem PLKN baru-baru ini menunjukkan kesan baik kepada pelatih.
Katanya, dalam proses latihan pilihan raya itu nanti SPR akan menetapkan peraturan dan lambang mana-mana parti yang akan bertanding pada pilihan raya PLKN itu.
"Dalam latihan pilihan raya itu, kesemua 15,000 pelatih akan terbabit bermula daripada pembubaran, kempen, penamaan calon, pengundian sehinggalah pengiraan undi," kata Abdul Hadi kepada pemberita ketika melawat Kem PLKN Saujana Impian, Jabi yang baru dibuka di Besut, Rabu.